Sunday 9 September 2012

PERNAFASAN DALAM MELATIH LIAN

Nafas adalah suatu yang sangat diberi penekanan dalam seni beladiri. Mana-mana martial art dalam dunia, selain silat juga memperincikan aspek ini mengikut fahaman masing-masing.

Dalam aspek kerohanian juga, nafas ada cerita dan detailnya yang tersendiri. Itu, cerita lain..

Yang kawan nak kongsikan di sini, fungsi nafas dalam beladiri. Singkatan LIAN yang diterangkan oleh Ayahanda Dr. Haji Hasyim Salleh ialah Latihan Itu Ada Nafas. Setiap pergerakan kita dalam jurus dan lian yang kita latihkan, ada 'nyawa'nya yang tersendiri, yakni ada fungsinya, ada gunanya, ada pengertiannya yang tersendiri lagi sejati..

Secara fizikalnya, nafas turut menjadi keutamaan. Dalam sukan, stamina sering dikaitkan dengan kebolehan kita bertahan melakukan sesuatu aktiviti dalam sela masa yang lama. Ini berkait dengan fungsi kardio kita, iaitu kebolehan jantung mengepam darah ke seluruh badan, dan sumber pembakar tenaga utama yang diperlukan badan ialah Oksigen iaitu udara yang disedut ketika kita bernafas.

Maka, tidak hairanlah nafas memainkan peranan utama. Banyak kaedah untuk melatih nafas ada dalam ilmu Melayu dulu-dulu. Bacaan al-fatihah senafas yang kita amalkan (bagi pengamal Lian Padukan) ketika membuka gelanggang juga adalah antara latihan pernafasan yang baik, selain lain-lain aktiviti fizikal yang kita latihkan. Malah, dengan melatih pernafasan juga sebenarnya kita secara tidak langsung melatih kekuatan fizikal. 

Oleh itu, jangan hanya terhadkan latihan semata-mata di gelanggang atau kelas latihan sahaja. Joging, berbasikal, berenang, main futsal dan lain-lain aktiviti fizikal juga hendaklah dirajinkan kerana banyak manfaatnya. Elakkan merokok, kerana secara peribadi, bagi kawan, merokok merendahkan martabat kita sebagai pengamal seni beladiri yang berdisiplin. Tak elok kan, anak-anak murid yang masih muda belia dan bersekolah, melihat guru atau jurulatih apa-apa beladiri sekalipun merokok. Terang-terang merokok menjadikan nafas kita berbau, dan lagi, Ayahanda Dr. Haji Hasyim sendiri bukanlah seorang perokok.

Antara latihan lian untuk pernafasan ialah jurus perdana 3 langkah senafas, buat lian senafas dan sudah tentu, amalan lian gulung iaitu lian 16 dalam silibus Lian Padukan. Mesti ada sebab, kenapa Lian Gulung adalah lian terakhir yang dipelajari sebelum khatam.... Lain-lain latihan adalah mengikut kreativiti masing-masing, dan panduan guru.