Saturday 28 July 2012

LAIN NAMA, LAIN KAEDAH, TAPI ILMUNYA SAMA


Ayahanda Dr. Hj Hasyim menerangkan aplikasi Lian Tasbih yang dicipta oleh beliau


Dato' Pak Andak Majid dari Pusaka Gayung dengan kaedah Seni Cindai

Kawan suka melihat kepelbagaian aliran yang ada di dunia ini. Kita pun hidup di zaman serba segalanya di hujung jari. Nak tau itu ini, Google saja.

Kawan tertarik dengan suatu seni yang menggunakan senjata yang bersifat fleksibel. Kalau dalam Silat Seni Gayong Dato' Meor Rahman, perguruan itu cukup dikenali dengan Seni Cindainya yang ampuh. Sejak keluar Nat Geo, lagi bertambah gah permainan itu.

Dalam Seni Gayong Dato' Meor Abd. Rahman, Seni Cindai merupakan silibus peringkat atasan. Mengikut cerita kawan-kawan kawan, permainan cindai ini untuk pengamal yang matang, kerana permainannya yang merbahaya, jerut-menjerut dan pukul memukul. Belum masuk tentang Seni Cindai Basah. Itu, cerita lain..

Bagaimana pula dalam buah pukul? Pun ada juga. Cuma mungkin lain nama, istilah, penyampaiannya. Namun matlamat ilmu tetap sama, iaitu pukul-memukul dan jerut menjerut.

Dalam Lian Padukan, Ayahanda Hj. Hasyim telah diilhamkan untuk mencipta kaedah Lian Tasbih. Selain tasbih boleh dijadikan sebagai senjata rohani umat Islam, tasbih juga boleh dijadikan senjata yang ampuh. Dengan kaedah liannya yang tersendiri, tersembunyi permainan pukul-memukul dan jerut-menjerut mengikut dasar buah pukul. Namun untuk dijadikan senjata, tasbihnya harus 'lain sikit' dari tasbih kebiasaan. Nak tahu lanjut, rujuk Ayahanda Hj. Hasyim atau guru-guru khatam yang lain. 

Dari pemerhatian kawan, Seni Cindai dan Lian Tasbih ini boleh diadaptasi ke lain-lain peralatan yang fleksibel sifatnya seperti rantai, tali, kain, tali pinggang, tudung, dan lain-lain. Tinggal lagi kita mengambil kaedah geraknya dengan guru dari aliran-aliran yang diminati. Kawan percaya, seni beladiri lain juga ada kaedah seperti ini.

Lain nama, lain kaedah, tapi matlamat akhir ilmunya sama. Bak kata Allahyarham Guru Pak Mat Kedidi, "tertakluk pada akal budi bicara."

Tuesday 24 July 2012

BERSIANG-SIANGLAH SELALU, JANGAN BERMALAM


"Pukul jangan biar bermalam."

Itu antara pesanan keramat dari guru-guru silat, terutama aliran buah pukul. Pesan yang selalu dipanjangkan oleh Ayahanda Hj. Hasyim. 

Bagi orang yang agak asing dengan permainan buah pukul macam kawan, asalnya terkebil-kebil juga. Apa benda 'jangan bermalam' tu?

Kawan pun tak reti nak maksudkan 'jangan bermalam' ni secara literasi. Jadi ikut faham kawan, bila datang pukulan, jangan sekadar tepis sahaja. Tepis dan terus lapis. Lapis berkali-kali. Kalau kita pula yang mendulu memukul, jangan pukul sekali saja. Pukul berkali-kali.

Sebab tu ada disebut oleh pandai buah pukul, "hendaklah mendulu, janganlah menunggu...bertalu-talu jangan tualu.."

Biasa kita tengok dalam drama-drama yang ada aksi pergaduhan, bila samseng menumbuk hero, hero akan menangkis tumbukan samseng sambil mengelak, kemudian baru hulur penumbuk. Jadi ada tiga kerja dilakukan dalam tiga gerak. Menangkis, mengelak dan menumbuk.

Dalam permainan buah pukul, setakat apa yang kawan alami, tidak begitu. Sebagai contoh, apabila kita menyorong penumbuk pada lawan, lawan bertindak menangkis tumbukan kita. Kita terus melapis tangkisan lawan dan terus-menerus menghantar serangan ke arah lawan. Sama juga apabila kita menanti serangan, sebaik tumbukan lawan memasuki zon pertahanan kita, kita terus menitik tumbukan lawan dan terus menerus menghantar serangan kepada lawan. Makan dalam gerak.

Yang mudah, kita mudahkan.

Tapi.... cakap memang mudah. Buatnya tu yang payah.

Sama-samala kita usaha berlatih ye. InsyaAllah, tak dapat sekarang, dapat akan datang....

Kalau dah sama-sama lawan melapis, camne pulak? mmmmmmm...

"Pat-pat siku lipat......."


Saturday 21 July 2012

RAIKAN PERBEZAAN


Dalam tahun 2009, kawan ada menyertai sebuah seminar pelancongan anjuran kerajaan negeri Selangor dan Tourism Selangor. Tahun itu, tema bagi sambutan Hari Pelancongan Sedunia ialah 'Celebrating Diversity'. Meraikan perbezaan atau kepelbagaian, bak kata orang Banjar.

Bagi yang rajin subscribe Majalah Seni Beladiri, quote utamanya adalah 'Bersatu Dalam Beladiri'.

Allah s..w.t mengurniakan kita dengan pelbagai ilmu untuk kelangsungan hidup di dunia, sebagai persiapan untuk ke akhirat. Kawan kecilkan skop, ilmu beladiri. Subhanallah, terlalu banyak. Dari seIslamik Silat sampai ke Yahudi Krav Maga. Terlalu banyak untuk disenaraikan.

Dalam Islam sendiri, kita diwajibkan untuk menjaga amanah Allah iaitu agama, nyawa, harta, maruah, dan keluarga. Untuk menjaga setiap satu itu perlukan ilmu. Maka manusia-manusia terpilih diilhamkan untuk menyusunkan pola pergerakan mempertahankan diri dari sebarang ancaman.

Dan semua itu menggunakan senjata lapan dan tulang empat kerat. 

Maka, kenapa nak digaduhkan setiap perbezaan, sedangkan asal perbuatannya sama. Menumbuk dengan tangan, menendang dengan kaki, menyiku dengan siku dan melutut dengan lutut.

Raikanlah perbezaan. Hargai setiap persamaan. Kita bukan lagi di zaman siapa kuat. Asli tak asli juga bukan pertikaian untuk berdebat mana yang logik untuk diaplikasi. Asal boleh pakai, pakai.

Sebab tu kawan suka baca tulisan-tulisan mendiang Bruce Lee. Memandangkan mendiang memang lulusan falsafah, ayat-ayatnya tersusun dan mudah difahami untuk dihayati. "Be like water", "a punch is a punch and a kick is a kick", "i'm afraid of one who kicking 10000 times" dan macam-macam lagi, melambangkan mendiang terbuka dalam membiacarakan disiplin ilmu beladiri. Tok-tok kita pun banyak yang lagi hebat. Kita je tak rajin nak mengaji.

Raikan perbezaan. Mungkin ada yang kurang pada kita, ada pada hak orang lain. Yang lebih pada kita mungkin kurang pada orang lain. Sama-sama belajar.

Hidup ni kalau malas nak belajar, kawan pun tak tau nak cakap camne lagi. Malas nak cakap....

LOGIK TAK LOGIK?

Allahyarham Pak Andak Wahab dan Ayahanda Hj. Hasyim


Selamat berpuasa untuk hari yang kedua!

Alhamdulillah. Berkesempatan kita melangsungkan ibadah puasa untuk hari ini. So, macam mana pulak dengan latihan kita? Harapnya semakin berpuasa, semakin bersemangatlah ye..

Dulu, kawan selalu jugak memikirkan tentang satu hal ni - Logik atau tak?

Logik atau tidak sesuatu buah? Logik atau tidak tari silat? Logik atau tak kuncian diaplikasikan pada orang yang berjasad lebih besar dan gagah dari kita? Dan banyak lagi. Benda yang orang tua-tua tak suka kat orang muda kot, banyak sangat soalnya. Tapi bukan untuk guru-guru kita. Guru-guru kan suka kalau murid rajin bertanya. Bertanya kan kunci kepada ilmu pengetahuan.

Kebanyakan persatuan silat mewujudkan sebuah sistem yang dipanggil silibus (atau nama-nama lain mengikut perguruan) untuk memudahkan murid-muridnya belajar satu persatu. Bila tamat satu peringkat, diadakan ujian untuk menguji kefahaman dan penguasaan murid akan satu-satu silibus. Biasalah ni, kat sekolah pun ada exam kan.

Namun yang menjadi permasalahan, silibus-silibus itu dihafal, bukan dihayati. Maka yang kita lihat, sesuatu perbuatan menjadi rigid, kaku. Nampak berseni perbuatan, tapi isinya................

Salah guru ke? Bagi kawan, tidak. Totally, salah pengamal tu sendiri. Mengejar bengkung, mengejar pelajaran tanpa cuba menguasai. Maka, bila berlaku situasi yang memerlukan ilmu senibeladiri dipakai, koboilah jadinya. Mana entah elakan 1, mana buah kunci 8, mana pukulan 3.

Sebab tu, kefahaman itu penting. Logik datang dari kefahaman dan penguasaan. Kawan secara peribadi melihat permainan buah pukul, mana-mana aliran dan cabang sekalipun adalah logik.Sebabnya? Silibus yang tak terlalu banyak, dan tak dibuat-buat untuk dibanyakkan. Apa yang ada dalam setiap pergerakan ada asasnya, ada sebabnya, ada buahnya.

Tapi kawan tidaklah menidakkan permainan lain. Ye, kawan akui, dulu kawan skeptik pada permainan silat pulut. Bertari-tari, bila nak pukul? Tapi sekarang, makin hari kawan makin nampak, bisanya buah pukulan yang terselit dicelah-celah bunga dan daun silat tari. Dulu kawan tak nampak peri pentingnya buah-buah kuncian dalam silat, walhal dalam pergerakan mengunci itu sendiri ada pukulan.

Pendek kata, logik tak logik tu kita sendiri yang tentukan. Jawapannya ada pada latihan.

Nak buat kamiran dalam matematik tambahan, sikit punya azab kalau setakat tengok formula je kan?


Apa kejadahnya menatang ni? Bayangkan formula di atas ni adalah 'lian' yang kita pelajari. Contohnya untuk silibus dalam Lian Padukan, Lian 1. 

Kalau setakat tengok orang buat dalam Youtube, kemudian kita hafalkan pola pergerakannya selak sana, selak sini, kita tau ke apa aplikasinya? Sama macam formula di atas. Kalau setakat hafal, tapi tak buat latihan, masuk exam setakat boleh tulis formula je lah.

Latihan. Kena banyak latihan. Baru datang logik bagi setiap pergerakan, perbuatan.

Friday 20 July 2012

UNIVERSITI TARBIYYAH RAMADHAN


Alhamdulillah... Kembali kita bulan penuh berkat. Ramadhan Al-Mubarak..

Kawan ucapkan selamat berpuasa dan beramal ibadat kepada semua sahabat yang beragama Islam.

Ramadhan bolehlah kita perikan sebagai sebuah institusi pengajian. Modal kursusnya murah sahaja, percuma pula. Niat. Pasang niat untuk 'semester' kali ini, kita mahu menjadikan pengajian kita di instituisi ini lebih bermakna, lebih pengisian, rohani dan jasmani. InsyaAllah, apa yang kita latih, amalkan sehari-hari dalam bulan rahmat ini, berkekalan hendaknya.

Pernah diberitahu pada kawan. Kita ambil amalan, bukan semata-mata niat untuk jadi hebat, selamat dan macam-macam lagi niat. Kadang-kadang kita ambil amalan dan doa dengan guru-guru kita, doa dan amalan yang hebat-hebat. Tapi bab beramal, tak terbuat. Setakat datang ambil amalan, salin. Salin tu pun kira ok dah, mana tau ada harinya nanti kita mula nak beramal. Kalau datang tapi buku dan pen pun dan berbawak, alamatnya, amalan tinggal nama je lah. Amalan sebenarnya perlukan istiqamah, berterusan. Baru berkatnya datang. Dari Allah jua, bukan dari yang lain.

Sebab tu Rasulullah s.a.w (selawat ke atas Baginda dan keluarga) kalau diminta ajarkan doa oleh para sahabat, Rasulullah s.a.w suka bagi doa yang mudah, ringkas, tapi padat untuk semua permintaan. Untuk rujukan, carilah buku kecil "Doa Kesukaan Nabi Muhammad" susunan Imam Nawawi, yang diterbitkan PTS. Di kulit buku depan, ada riwayat dari Saidatina Aisyah yang menyebut, "Nabi Muhammad suka doa-doa yang singkat tetapi meliputi semua maksud." Untuk memudahkan kita umatnya beramal istiqamah, barangkali.

Bak kata pandai buah pukul," Amalan biar sedikit tetapi kekal, supaya boleh dibuat bekal, tak perlu banyak selalu tertinggal, nanti menyesal, dapat sial tak pasal-pasal."

Nak yang sedikit tu kekal? Kena selalu amal lah.

Berkat bulan Ramadhan ni juga, kita teruskan berlatih. Sikit sebanyak boleh sihatkan badan lagi, dengan berpeluh. Tambah lagi amalan-amalan sunat...

Pernah dengar orang lama-lama cakap. Kita jangan kejar hebat. Kita kejarkan berkat ibadat, insyaAllah datanglah hebat. 

Selamat menyambut Ramadhan Al-Mubarak....






MENGENAL LIAN - CARA LAIN


Contoh scaling untuk melodic minor

Lian itu laluan. Lian itu guru. Lian itu jambatan. Lian itu Latihan Istiqamah Anggota Nafas. Dan macam-macam lagi. Bahasa orang lama-lama yang penuh seni.

Ni pulak setakat apa yang kawan faham tentang lian. Untuk pengamal lian yang main muzik, lagi senang faham gamaknya.

Lian itu ibarat music scale. Scale ada macam-macam. Ionian, Dorian, Diminished, Melodic. Contoh mudah, kita ambik scaling 'C major'. Nak lagi mudah, kita ambik scaling 'C pentatonic major'.

Dengan menggunakan scale ni, untuk apa-apa situasi lagu yang menggunakan rhythm section C-Am-F-G atau Am-G-F-E, kita boleh menggoreng sepuas hati tanpa sumbang, selagi berpandukan scale 'C major' tadi. Lupa, 'C major' dan 'A minor' berkongsi scaling yang sama. Nak lagu ceria boleh, macam lagu 'Mat Ganja' atau lagu sayu-sayu pun boleh, berbekalkan asas kita dengan scaling tadi. Jadi, note yang ditekan tak semestinya mengikut tangga do-re-mi-fa-so-la-ti-do. Boleh juga ditunggang-terbalikkan jadi mi-fa-ti-do-re-la, ikut suka lah. Ditambah lagi dengan skill-skill lain macam vibrato, slide, bend, tapping untuk menyedapkan rasa.

Begitu juga lian, dalam pandangan kawan.

Lian itu ibarat scale, sebagai panduan untuk kita berlatih kefahaman. Note yang digunakan tu, adalah senjata lapan kita. Jadi pusing tang mana pun, selagi berpandukan lian, insyaAllah perbuatan tak sumbang. Sumbang pun, ada menyumbangkan peranan dalam pergerakan kita.

Errr....Boleh faham ke? Ke lagi menyusahkan?

KENAPA DIPANGGIL BUAH?

Sumber gambar dari sini

Kalau dalam Silat Seni Gayong, antara buah yang menaikkan nama persilatan ini di persada antarabangsa ialah buah Kilas Sawa Berendam, atau di'international'kan menjadi 'Sinking Phyton'.

Kalau dalam Silat Cekak (susur galur Ustaz Hanafi) pun macam-macam buah yang hebat-hebat namanya. Buah keputusan, buah kilas, buah kuntau. 

Tak terkecuali mana-mana silat pun, semua pergerakan serangan, tangkapan, kuncian, pukulan, bantingan dan lain-lainnya, dipanggil 'buah'.

Aliran permainan susur galur Syed Abdul Rahman Yunan sendiri senang disebut 'buah pukul'. Dan kalau Lian Padukan, ada buah polek tendang yang dah di'london'kan menjadi 'Polick Haimau'. Pa dia entah 'polick haimau', lain sungguh bunyinya....

Persoalannya, kenapa dipanggil 'buah'?

Sebagai pengamal muda, mentah, kadang-kadang persoalan ini berlegar-legar dalam fikiran kawan. Pernah juga soalan ini ditanya pada sahabat-sahabat kawan. Macam-macam jawapan yang 'grand' boleh kawan dapati. Tapi, tak menepati apa kawan mahukan. Dan kawan pun waktu tu tak tau jawapan macam mana yang kawan mahukan.

Alhamdulillah, setelah berdiskusi dengan Ayahanda Dr. Haji Hasyim, kawan dapat jawapannya. Jawapannya pun kawan dapat dari berangan-angan, ilhamlah kononnya. Ayahanda facilitate kawan, bagi dapat jawapannya serba sikit.

Klu untuk jawapan bagi persoalan ni pun, kawan dapat dari madah orang Minang, 'Alam takombang menjadi guru'.


AWAL GERAK - TITIK PERISAI TUMBUK




ALHAMDULILLAH – Syukur ke hadrat Allah S.W.T, atas rahmatNya kita masih bernafas, bawah naunganNya.

Terbitnya wadah baru ini, sekadar untuk kita sama-sama berkongsi minat kita dalam dunia seni beladiri, amnya silat dan khususnya buah pukul bersanad dari Buah Pukul Mersing yang diwarisi Allahyarham Awang Daik dan Allahyarham Pak Long Mat Yassin dari S. Abdul Rahman Yunan, dan kini nukil sanad diwarisi oleh Ayahanda Dr. Haji Hashim Bin Salleh setelah diserahkan oleh genius buah pukul, Allahyarham Guru Pak Mat Kedidi.

Sebelum melebar bicara, harus diingatkan, penulis masih muda mentah untuk berkongsi ilmu. Masih menyusu dalam dunia senibeladiri. Masih meniarap dalam dunia buah pukul. Belum mampu berdiri, masih perlu dipimpin. Ruang perkongsian ini bukan untuk mencari mana terbaik, mana terhebat. Sekadar menebar jala silaturrahmi untuk kita terus berkasih sayang dalam dunia senibeladiri.

Butir fikiran penulis mungkin mengikut jalur pemikiran orang muda, kerana mudanya usia penulis. Harap mana yang kusut, minta guru-guru leraikan. Mana yang kabur, minta kanda-kanda jelaskan.

Syukurlah kita dilahirkan di Tanah Melayu yang dimuliakan Allah dengan permainan silat melayu. Terlalu banyak aliran dan jenisan silat untuk kita banggakan. Tetapi bangga saja tidak cukup, kalau tidak anak Melayu sendiri yang mahu pelajari.

Syukur juga penulis panjatkan, kerana perantauan penulis ke bumi Johor ini menemukan penulis dengan sebuah permainan khazanah Melayu yang cukup istimewa. Ampuh tak ampuh, itu atas pengamal sendiri. Yang penting, ilmu itu dirai dengan selayaknya.

“Hendak mengena tak nak kena. ”

Iktikad pengamal buah pukul. Di mana, yang jauh dijemput, yang datang disambut, yang dekat direbut, yang balik diturut. Kata-kata mutiara yang mendasari permainan buah pukul aliran S. Abdul Rahman Yunan.

Ada juga penulis kecek-kecek dari pengamal pukulan aliran yang lain. Walau bagaimana cara, asal kena. Kerana sifat penumbuk walau dari siapa pun, memang keras. Ada ke penumbuk lembik? Kuat tak kuat, itu lain nombor. Yang penting, asalkan kena.

Sebab itu orang cakap, main buah pukul ni banyak ragamnya.

Apa pun, penulis masih belajar. Masih mengkaji. Masih memerhati. Alhamdulillah, dari bimbingan Ayahanda Dr. Haji Hasyim dan guru-guru khatam lain, banyak yang penulis dan saudara yang lain pelajari.

Belajarlah ilmu senibeladiri. Apa-apa jenis sekalipun. Banyak melata di bumi Tuhan. Tinggal lagi, carilah yang kena dengan selera kita. Sama macam makan. Ada yang suka makan sambal belacan dengan tempoyak. Ada yang suka sambal belacan saing dengan budu. Ada yang suka sambal belacan regu dengan cencalok.
Bagi penulis, semua penulis layan. Tempoyak, budu dan cencalok dipadukan dengan sambal belacan, menjadikan selera makan lebih padu dan ummppphhh!