Friday 3 August 2012

PELAMPAS DALAM LATIHAN

Ayahanda beraksi dengan 'wooden dummy' di Studio LP Martial Arts Academy

Perkataan 'pelampas' ni kawan cuma dengar apabila mula mempelajari buah pukul. Maksudnya dari Kamus Dewan, tidaklah kawan tahu. Setakat yang kawan faham, pelampas itu adalah drill tertentu yang dilatih untuk kemahiran.

Dalam apa juga bidang sekalipun, latihan penting. Pelajar-pelajar institusi pendidkan dari tadika sampai ke universiti sentiasa dibekalkan dengan latihan untuk menambah kemahiran dan kefahaman. Atlet-atlet sukan juga dilatih dengan drill tertentu untuk meningkatkan stamina, fleksibilit dan kemahiran dalam sukan yang diceburi. Contohnya, atlet olahraga trek sentiasa dilihat melakukan drill seperti lunge, high knee, scissor run, ankling dan banyak lagi drill untuk melatih otot kecil dan besar bahagian bawah badan bagi menambahkan kelancaran larian. Itu, cerita lain.

Dalam senibeladiri, umum melihat ahli-ahlinya melakukan latihan tendangan dan tumbukan berulang-kali. Untuk menambah kekuatan dan akurasi serangan, beg tubi, pao dan lain-lain bahan bantu mengajar digunakan. Tak ketinggalan teknik bantingan dilatih menggunakan heavy bag dan gulingan dilakukan berulang kali, membawa ke muntah. Itu semua untuk mencapai tahap kemahiran dan kesmpurnaan dalam aliran yang dianuti.

Bagi buah pukul - kawan kongsikan dalam konteks Lian Padukan yang kawan pelajari - antara drill atau pelampas yang dilatih adalah pelampas tangan. Titik, siku dan tumbuk disasarkan pada tapak tangan secara berganti-ganti. Sebelum belajar dulu, kawan pelik jugak tengok silat ni, berlatih tepuk-tepuk tangan. Bila dah alami sendiri, baru faham. Itu untuk membiasakan kita dengan senjata-senjata pada tubuh kita. Tangan ada pelampasnya, kaki ada pelampasnya serti 'squat kicking' dan lutut juga ada pelampasnya yang tersendiri. Hatta mata juga ada pelampasnya yang juga tersendiri, untuk fokus penglihatan semasa berlaku sayembara pertarungan.

Malah, bagi kawan, jurus dan lian yang kita pelajari juga merupakan pelampas bagi pergerakan menyeluruh kita. Yang penting dilatih selalu. Untuk elak plateu dalam latihan, kadang-kadang kawan ikhtiarkan kaedah sendiri. Tak la jemu jadinya. Ayahanda Hj. Hasyim sendiri mempunyai 1001 pelampas yang jarang-jarang kita ketahui. Nak tau, rajin-rajin datang menjenguk beliau.

Yang penting, berlatih. Pelampas ke, apa ke, kalau tak dilatih, hampaslah jadinya...


1 comment:

  1. Salam. Bagaimana untuk lakukan kaedah sendiri dalam pelampas.

    ReplyDelete