Showing posts with label latihan. Show all posts
Showing posts with label latihan. Show all posts

Friday, 3 August 2012

PELAMPAS DALAM LATIHAN

Ayahanda beraksi dengan 'wooden dummy' di Studio LP Martial Arts Academy

Perkataan 'pelampas' ni kawan cuma dengar apabila mula mempelajari buah pukul. Maksudnya dari Kamus Dewan, tidaklah kawan tahu. Setakat yang kawan faham, pelampas itu adalah drill tertentu yang dilatih untuk kemahiran.

Dalam apa juga bidang sekalipun, latihan penting. Pelajar-pelajar institusi pendidkan dari tadika sampai ke universiti sentiasa dibekalkan dengan latihan untuk menambah kemahiran dan kefahaman. Atlet-atlet sukan juga dilatih dengan drill tertentu untuk meningkatkan stamina, fleksibilit dan kemahiran dalam sukan yang diceburi. Contohnya, atlet olahraga trek sentiasa dilihat melakukan drill seperti lunge, high knee, scissor run, ankling dan banyak lagi drill untuk melatih otot kecil dan besar bahagian bawah badan bagi menambahkan kelancaran larian. Itu, cerita lain.

Dalam senibeladiri, umum melihat ahli-ahlinya melakukan latihan tendangan dan tumbukan berulang-kali. Untuk menambah kekuatan dan akurasi serangan, beg tubi, pao dan lain-lain bahan bantu mengajar digunakan. Tak ketinggalan teknik bantingan dilatih menggunakan heavy bag dan gulingan dilakukan berulang kali, membawa ke muntah. Itu semua untuk mencapai tahap kemahiran dan kesmpurnaan dalam aliran yang dianuti.

Bagi buah pukul - kawan kongsikan dalam konteks Lian Padukan yang kawan pelajari - antara drill atau pelampas yang dilatih adalah pelampas tangan. Titik, siku dan tumbuk disasarkan pada tapak tangan secara berganti-ganti. Sebelum belajar dulu, kawan pelik jugak tengok silat ni, berlatih tepuk-tepuk tangan. Bila dah alami sendiri, baru faham. Itu untuk membiasakan kita dengan senjata-senjata pada tubuh kita. Tangan ada pelampasnya, kaki ada pelampasnya serti 'squat kicking' dan lutut juga ada pelampasnya yang tersendiri. Hatta mata juga ada pelampasnya yang juga tersendiri, untuk fokus penglihatan semasa berlaku sayembara pertarungan.

Malah, bagi kawan, jurus dan lian yang kita pelajari juga merupakan pelampas bagi pergerakan menyeluruh kita. Yang penting dilatih selalu. Untuk elak plateu dalam latihan, kadang-kadang kawan ikhtiarkan kaedah sendiri. Tak la jemu jadinya. Ayahanda Hj. Hasyim sendiri mempunyai 1001 pelampas yang jarang-jarang kita ketahui. Nak tau, rajin-rajin datang menjenguk beliau.

Yang penting, berlatih. Pelampas ke, apa ke, kalau tak dilatih, hampaslah jadinya...


Tuesday, 24 July 2012

BERSIANG-SIANGLAH SELALU, JANGAN BERMALAM


"Pukul jangan biar bermalam."

Itu antara pesanan keramat dari guru-guru silat, terutama aliran buah pukul. Pesan yang selalu dipanjangkan oleh Ayahanda Hj. Hasyim. 

Bagi orang yang agak asing dengan permainan buah pukul macam kawan, asalnya terkebil-kebil juga. Apa benda 'jangan bermalam' tu?

Kawan pun tak reti nak maksudkan 'jangan bermalam' ni secara literasi. Jadi ikut faham kawan, bila datang pukulan, jangan sekadar tepis sahaja. Tepis dan terus lapis. Lapis berkali-kali. Kalau kita pula yang mendulu memukul, jangan pukul sekali saja. Pukul berkali-kali.

Sebab tu ada disebut oleh pandai buah pukul, "hendaklah mendulu, janganlah menunggu...bertalu-talu jangan tualu.."

Biasa kita tengok dalam drama-drama yang ada aksi pergaduhan, bila samseng menumbuk hero, hero akan menangkis tumbukan samseng sambil mengelak, kemudian baru hulur penumbuk. Jadi ada tiga kerja dilakukan dalam tiga gerak. Menangkis, mengelak dan menumbuk.

Dalam permainan buah pukul, setakat apa yang kawan alami, tidak begitu. Sebagai contoh, apabila kita menyorong penumbuk pada lawan, lawan bertindak menangkis tumbukan kita. Kita terus melapis tangkisan lawan dan terus-menerus menghantar serangan ke arah lawan. Sama juga apabila kita menanti serangan, sebaik tumbukan lawan memasuki zon pertahanan kita, kita terus menitik tumbukan lawan dan terus menerus menghantar serangan kepada lawan. Makan dalam gerak.

Yang mudah, kita mudahkan.

Tapi.... cakap memang mudah. Buatnya tu yang payah.

Sama-samala kita usaha berlatih ye. InsyaAllah, tak dapat sekarang, dapat akan datang....

Kalau dah sama-sama lawan melapis, camne pulak? mmmmmmm...

"Pat-pat siku lipat......."


Saturday, 21 July 2012

LOGIK TAK LOGIK?

Allahyarham Pak Andak Wahab dan Ayahanda Hj. Hasyim


Selamat berpuasa untuk hari yang kedua!

Alhamdulillah. Berkesempatan kita melangsungkan ibadah puasa untuk hari ini. So, macam mana pulak dengan latihan kita? Harapnya semakin berpuasa, semakin bersemangatlah ye..

Dulu, kawan selalu jugak memikirkan tentang satu hal ni - Logik atau tak?

Logik atau tidak sesuatu buah? Logik atau tidak tari silat? Logik atau tak kuncian diaplikasikan pada orang yang berjasad lebih besar dan gagah dari kita? Dan banyak lagi. Benda yang orang tua-tua tak suka kat orang muda kot, banyak sangat soalnya. Tapi bukan untuk guru-guru kita. Guru-guru kan suka kalau murid rajin bertanya. Bertanya kan kunci kepada ilmu pengetahuan.

Kebanyakan persatuan silat mewujudkan sebuah sistem yang dipanggil silibus (atau nama-nama lain mengikut perguruan) untuk memudahkan murid-muridnya belajar satu persatu. Bila tamat satu peringkat, diadakan ujian untuk menguji kefahaman dan penguasaan murid akan satu-satu silibus. Biasalah ni, kat sekolah pun ada exam kan.

Namun yang menjadi permasalahan, silibus-silibus itu dihafal, bukan dihayati. Maka yang kita lihat, sesuatu perbuatan menjadi rigid, kaku. Nampak berseni perbuatan, tapi isinya................

Salah guru ke? Bagi kawan, tidak. Totally, salah pengamal tu sendiri. Mengejar bengkung, mengejar pelajaran tanpa cuba menguasai. Maka, bila berlaku situasi yang memerlukan ilmu senibeladiri dipakai, koboilah jadinya. Mana entah elakan 1, mana buah kunci 8, mana pukulan 3.

Sebab tu, kefahaman itu penting. Logik datang dari kefahaman dan penguasaan. Kawan secara peribadi melihat permainan buah pukul, mana-mana aliran dan cabang sekalipun adalah logik.Sebabnya? Silibus yang tak terlalu banyak, dan tak dibuat-buat untuk dibanyakkan. Apa yang ada dalam setiap pergerakan ada asasnya, ada sebabnya, ada buahnya.

Tapi kawan tidaklah menidakkan permainan lain. Ye, kawan akui, dulu kawan skeptik pada permainan silat pulut. Bertari-tari, bila nak pukul? Tapi sekarang, makin hari kawan makin nampak, bisanya buah pukulan yang terselit dicelah-celah bunga dan daun silat tari. Dulu kawan tak nampak peri pentingnya buah-buah kuncian dalam silat, walhal dalam pergerakan mengunci itu sendiri ada pukulan.

Pendek kata, logik tak logik tu kita sendiri yang tentukan. Jawapannya ada pada latihan.

Nak buat kamiran dalam matematik tambahan, sikit punya azab kalau setakat tengok formula je kan?


Apa kejadahnya menatang ni? Bayangkan formula di atas ni adalah 'lian' yang kita pelajari. Contohnya untuk silibus dalam Lian Padukan, Lian 1. 

Kalau setakat tengok orang buat dalam Youtube, kemudian kita hafalkan pola pergerakannya selak sana, selak sini, kita tau ke apa aplikasinya? Sama macam formula di atas. Kalau setakat hafal, tapi tak buat latihan, masuk exam setakat boleh tulis formula je lah.

Latihan. Kena banyak latihan. Baru datang logik bagi setiap pergerakan, perbuatan.