ALHAMDULILLAH – Syukur ke hadrat
Allah S.W.T, atas rahmatNya kita masih bernafas, bawah naunganNya.
Terbitnya wadah baru ini, sekadar
untuk kita sama-sama berkongsi minat kita dalam dunia seni beladiri, amnya
silat dan khususnya buah pukul bersanad dari Buah Pukul Mersing yang diwarisi
Allahyarham Awang Daik dan Allahyarham Pak Long Mat Yassin dari S. Abdul Rahman
Yunan, dan kini nukil sanad diwarisi oleh Ayahanda Dr. Haji Hashim Bin Salleh
setelah diserahkan oleh genius buah pukul, Allahyarham Guru Pak Mat Kedidi.
Sebelum melebar bicara, harus
diingatkan, penulis masih muda mentah untuk berkongsi ilmu. Masih menyusu dalam
dunia senibeladiri. Masih meniarap dalam dunia buah pukul. Belum mampu berdiri,
masih perlu dipimpin. Ruang perkongsian ini bukan untuk mencari mana terbaik,
mana terhebat. Sekadar menebar jala silaturrahmi untuk kita terus berkasih
sayang dalam dunia senibeladiri.
Butir fikiran penulis mungkin
mengikut jalur pemikiran orang muda, kerana mudanya usia penulis. Harap mana
yang kusut, minta guru-guru leraikan. Mana yang kabur, minta kanda-kanda
jelaskan.
Syukurlah kita dilahirkan di
Tanah Melayu yang dimuliakan Allah dengan permainan silat melayu. Terlalu
banyak aliran dan jenisan silat untuk kita banggakan. Tetapi bangga saja tidak
cukup, kalau tidak anak Melayu sendiri yang mahu pelajari.
Syukur juga penulis panjatkan, kerana
perantauan penulis ke bumi Johor ini menemukan penulis dengan sebuah permainan
khazanah Melayu yang cukup istimewa. Ampuh tak ampuh, itu atas pengamal
sendiri. Yang penting, ilmu itu dirai dengan selayaknya.
“Hendak mengena tak nak kena. ”
Iktikad pengamal buah pukul. Di
mana, yang jauh dijemput, yang datang disambut, yang dekat direbut, yang balik
diturut. Kata-kata mutiara yang mendasari permainan buah pukul aliran S. Abdul
Rahman Yunan.
Ada juga penulis kecek-kecek dari
pengamal pukulan aliran yang lain. Walau bagaimana cara, asal kena. Kerana
sifat penumbuk walau dari siapa pun, memang keras. Ada ke penumbuk lembik? Kuat
tak kuat, itu lain nombor. Yang penting, asalkan kena.
Sebab itu orang cakap, main buah
pukul ni banyak ragamnya.
Apa pun, penulis masih belajar.
Masih mengkaji. Masih memerhati. Alhamdulillah, dari bimbingan Ayahanda Dr. Haji
Hasyim dan guru-guru khatam lain, banyak yang penulis dan saudara yang lain pelajari.
Belajarlah ilmu senibeladiri.
Apa-apa jenis sekalipun. Banyak melata di bumi Tuhan. Tinggal lagi, carilah
yang kena dengan selera kita. Sama macam makan. Ada yang suka makan sambal
belacan dengan tempoyak. Ada yang suka sambal belacan saing dengan budu. Ada
yang suka sambal belacan regu dengan cencalok.
Bagi penulis, semua penulis
layan. Tempoyak, budu dan cencalok dipadukan dengan sambal belacan, menjadikan
selera makan lebih padu dan ummppphhh!
Betol doh tu
ReplyDelete